Monday, March 8, 2010

Apa itu Overdraft (OD)

Secara amnya OD atau kemudahan Overdraft (Overdraft facility) adalah sejenis pinjaman atau pun loan, tetapi ianya berbeza dengan jenis-jenis pinjaman yang lain seperti housing loan, pinjaman kereta/kenderaan dan sebagainya. Ini kerana OD sebenarnya adalah satu kemudahan pinjaman yang di 'standby' kan oleh bank dan tidak semestinya digunakan oleh pelanggan.


Ciri-ciri OD :-
1. Mesti digunakan bersama current account atau Akaun Semasa (menggunakan kemudahan cek).

2. Selalunya memerlukan cagaran samaada dalam bentuk hartanah atau dalam simpanan tetap. Kalau nak cepat dapat boleh guna simpanan tetap atau Fixed Deposit(FD) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB).

3. Jumlah OD yang diberi bergantung kepada nilai cagaran dan juga kekuatan kewangan pelanggan. Rekod dengan bank juga amat penting. Oleh itu, jika anda masih baru dengan bank dan kedudukan kewangan (Dari segi gaji, tanggungan atau keuntungan syarikat) masih lemah dan anda letak Fixed Deposit sebanyak RM10,000 maka anda mungkin dapat sama nilai i.e OD juga RM10,000. Ini dipanggil One To One Basis.

Kalau anda sudah lama dengan bank tersebut, manakala kedudukan kewangan baik, rekod pembayaran pinjaman sebelum itu baik maka anda akan dapat lebih dari apa yang anda cagarkan. Sebagai contoh, anda mencagarkan Fixed Deposit berjumlah RM10,000, kemungkinan besar akan dapat RM20,000 OD.

4. OD ni boleh dipohon oleh pelanggan individu ataupun syarikat.

5. Persamaan OD dengan jenis loan yang lain ialah kemudahan ini dikenakan Faedah. Faedah biasanya diletak berdasarkan BLR atau Base Lending Rate. BLR ini merupakan kos untuk bank memberi pinjaman kepada pelanggan mereka.

Oleh itu faedah keatas OD anda mungkin akan dinyatakan dalam bentuk :-
> Kadar faedah OD = BLR – 1.5%
> kalau BLR semasa ialah 5.55% maka
> Kadar faedah OD anda = 5.55% - 1.5% = 4.05%

Anda juga perlu ingat yang BLR boleh berubah dan jika BLR naik ke 7% maka
kadar faedah OD anda juga naik menjadi 5.5% (7% - 1.5%)

Sila semak juga kadar faedah OD itu dikira bagaimana, sama ada:-
1. Flat rate (Macam pinjaman kereta)
2. Monthly rate
3. Daily rate

Jenis-jenis rate diatas akan mengenakan faedah yang berbeza. Jadi, walaupun ketiga-tiga jenis kadar diatas adalah 7% setahun tapi pengiraannya berbeza. Kadar Flat rate adalah yang paling mahal.

6. OD juga boleh digabungkan dengan Pinjaman Perumahan (Housing Loan) - Sebagai contoh jika anda ambil pinjaman perumahan sebanyak RM100,000 dan anda sudah membayar sebanyak RM40,000 dan baki pinjaman sebanyak RM60,000 maka pihak bank akan memberi kemudahan OD sebanyak RM40,000. Itu juga, tertakluk kepada nilai pasaran rumah anda itu. Keadaan ini juga, bergantung kepada pihak bank kerana bukan semua bank menawarkan pinjaman sebegini.

7. Nilai pasaran cagaran anda boleh memberi kesan kepada OD anda - Jika anda gunakan asset tanah anda untuk mendapat OD sebanyak RM100,000 tetapi di masa hadapan nilai tanah anda jatuh dibawah RM100,000 maka jika anda sudah gunakan sepenuhnya nilai OD anda, maka anda perlu selesaikan perbezaannya.

Sebagai Contoh:
=> Amount OD diluluskan - RM100,000
=> Nilai pasaran cagaran - RM90,000
=> Jumlah OD yang anda sudah dan sedang anda gunakan sebanyak RM100,000
=> Jumlah hutang yang perlu anda bayar serta-merta kepada bank ialah Jumlah OD sudah digunakan ditolak jumlah cagaran iaitu RM100,000 - RM90,000.

Jika anda tidak menggunakan OD tersebut sehingga nilai maksima, kemungkinan bank akan turunkan jumlah OD yang boleh anda gunakan itu.

8. Permohonan untuk OD agak sama dengan pinjaman-pinjaman yang lain terutamanya jika anda menggunakan cagaran dalam bentuk hartanah seperti rumah dan tanah. Jika anda gunakan FD anda atau sijil ASB dan hanya mohon OD sehingga 100% nilai FD atau 95% nilai ASB anda. Tempoh permohonan adalah lebih cepat dan mungkin boleh terus diluluskan oleh Pengurus Bank cawangan anda memohon itu. Ini kerana OD anda itu mempunyai risiko yang terlalu rendah kepada bank. Bagi kemudahan OD yang digabungkan bersama pinjaman perumahan, anda mungkin tidak memerlukan permohonan baru kerana ianya diberi secara pakej dengan pinjaman perumahan anda itu.

9. Kadar feadah OD akan dikenakan kepada jumlah OD yang anda gunakan sahaja. Jika anda tidak gunakan sesuatu jumlah wang dalam OD tersebut, jadi tiada apa-apa feadah yang dikenakan.

10. Bagaimanapun kebiasaannya bank turut mengenakan Commitement Fee untuk jumlah OD yang tidak digunakan. Ini adalah kerana walaupun anda tidak menggunakannya tetapi bank telah pun 'standby' kan jumlah OD anda itu dan menunggu untuk anda gunakan.

11. Biasanya kadar faedah OD lebih rendah dari kadar faedah kalau anda gunakan kemudahan Cash Advance melalui Kad Kredit.

12. Kemudahan OD juga boleh mengelakkan dari anda mengeluarkan cek tendang sebab jika anda keluarkan cek RM10,000 tapi dalam akaun anda cuma RM8,000, baki RM2,000 yang masih tidak mencukupi itu akan secara automatik diambil dari kemudahan OD anda itu.

Peringatan!!! Kemudahan OD amat berguna jika kita tahu manfaatkanya. Tetapi jika salah guna ianya sama seperti penggunaan kad kredit di mana ianya boleh membebankan anda.

Kelebihan OD ini ialah ianya satu kemudahan standby facility dan jika tidak menggunakannya maka anda cuma perlu bayar sedikit sahaja fees untuk mengekalkan kemudahan ini. Jika anda sesak nafas dari segi kewangan dan memerlukan duit segera maka anda tidak perlu pening-pening kepala guna kad kredit atau lagi teruk pinjam dari Along……

Iklas dari BUW...

Bayar Untuk Diri Sendiri

Setiap sesuatu mesti ada asasnya. Seperti Islam, asasnya ada 5 iaitu Syahadah, Solat, Zakat, Puasa dan Haji.


Sesuatu yang didirikan tanpa asas yang kukuh akan mudah runtuh malah, mungkin ia tidak dapat didirikan langsung.

Bangunan setinggi KLCC perlu ada asas binaan yang kukuh. Bayangkan kalau KLCC didirikan atas asas binaan apartment setinggi 5 tingkat. Tidak perlu jadi jurutera pun kita sudah boleh agak kesannya.

Sama juga kalau kita mahu menjadi seorang yang kaya. Jutawan lah namanya. Kekayaaan (Wealth) menurut salah satu definisinya adalah nilai aset melebihi nilai liabiliti. Definasi, Aset adalah sesuatu yang membuatkan duit kita bertambah. Dan liabiliti pula, merupakan sesuatu yang mengurangkan duit kita., Bayangkanlah Aset itu, adalah sesuatu yang membuatkan duit kita bertambah. (Pertanyaan... Adakah kereta itu suatu Aset?)

Siapakah sebenarnya ambil duit kita? Gaji/Pendapatan tidak pernah cukup setiap bulan, yang pasti setiap hujung bulan akan habis..!

Tetapi asas yang utama adalah kita perlu ada tabiat menabung. Mungkin ramai daripada kita semasa kecil ada memiliki tabung. Dari tabung burung nuri, tabung ayam, tabung gajah, tabung buluh, tabung bangunan Tabung Haji dan sebagainya. Namun, kebanyakan kita selama ini menerima pendidikan mengenai konsep menabung yang salah.
(Mmmm.. jangan risau, saya dulu pun berpegang dengan konsep menabung yang salah juga...)

Konsep menabung yang salah itu adalah seperti berikut.
Mak kita kata, “Atan, ambik duit seringgit ni buat belanja ye, nanti yang lebih tu masuk tabung.” Justeru, rata-rata, kita hanya menyimpan setelah ada baki.

Gambarannya begini:
Pendapatan - Belanja = Simpanan (P - B = S)

Maksudnya, bila dapat saja gaji, kita terus belanjakan duit tersebut ke tempat lain terlebih dahulu, sama ada bayar sewa rumah, installment kereta, bil api air, bil handphone, hutang kad kredit dan segala perbelanjaan serta hutang. Maka, kalau ada lebih barulah kita simpan. Erti kata lain, kalau tiada lebih, maka tidak menyimpanlah kita.

Bila gunakan konsep ini, memang jarang-jarang kita akan ada duit lebih di hujung bulan. Banyak daripada kita memang tak pernah cukup wang. Walaupun bergaji besar, belanjanya selalunya besar juga!...Bak kata pepatah, "Besar Periuk besar jugalah keraknya". Justeru itu, kita memang akan gagal mengecapi kebebasan kewangan sampai bila-bila.

Jadi, anda perlu berubah. Tukar kepada Paradigma baru. Jadi, tukar sahaja formula lapuk itu tadi dengan mengambil formula Simpanan Aktif:

Pendapatan - Simpanan = Belanja (P - S = B )

Mudah tak?

Maknanya di sini....bayar untuk diri sendiri dahulu (untuk kayakan diri sendiri), barulah kita bayar untuk orang lain.

Perancangan Kewangan

Apa Sebenarnya Perancangan Kewangan Itu?


Istilah "Perancangan Kewangan" lazimnya agak "menggerunkan" sesetengah orang, terutama mereka yang berfikir bahawa perancangan kewangan adalah untuk mereka yang berpendapatan tinggi dan kaya sahaja. Tetapi, benarkah begitu? Jika tidak, apa sebenarnya? Secara amnya, perancangan kewangan membabitkan pandangan menyeluruh mengenai kedudukan kewangan sendiri yang meliputi pelbagai sudut pengurusan kewangan dan harta, dan kemudian melalui proses langkah demi langkah untuk mengatasi masalah kewangan serta mencapai matlamat kewangan.

Apa yang Termasuk dalam Perancangan Kewangan?
Berikut ialah sebahagian elemen dalam perancangan kewangan:

Pengurusan Aliran Tunai
Yang akan membabitkan:
*Menilai nilai bersih kewangan yang ada sekarang (apa yang dimiliki ditolak hutang yang sedia ada).
Secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan.
* belanjawan
* menghapuskan hutang
* membuat tabungan.


Perancangan Pelaburan
Setelah anda menentukan jumlah wang yang ingin ditabung, anda patut menimbangkan pula di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa. Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya anda mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan anda.


Perancangan Insurans
Pastikan supaya semua aset dan keluarga anda dilindungi oleh insurans secukupnya.


Perancangan Cukai
Perancangan cukai membabitkan semua orang yang mempunyai pendapatan, namun ini yang selalu tidak diambil berat atau dilupakan oleh kebanyakan orang. Oleh itu, perancangan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki, bawah sistem cukai tempatan.


Perancangan Persaraan
Anda tidak akan bekerja sepanjang hayat. Apabila tanda-tanda usia meningkat sudah bermula atau anda telah mencapai usia mesti bersara, anda terpaksalah bersara. Oleh itu, amat mustahak mempunyai pelan kewangan.


Perancangan Harta
Mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak anda terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan. Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga anda, memastikan harta anda terpelihara dan diberikan kepada waris-waris anda, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga.

Akhir sekali, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.

Credit to : http://bijakuruswang.blogspot.com/2007/11/perancangan-kewangan.html

Bagaimana Membuat Matlamat Kewangan?

Apabila diitanya satu soalan kepada setiap individu, apakah matlamat kewangan anda?.... ada di antara mereka yang akan menjawab…..Aku ingin menjadi kaya!!!! Pada hakikatnya, adakah itu matlamat kewangan sebenar atau hanya angan-angan atau omong-omong kosong? Benarkah begitu?


Oleh yang demikian, sebelum melakukan sebarang perancangan kewangan, perkara penting dalam merancang kewangan adalah menetapkan dahulu matlamat kewangan kita sendiri. Selepas itu, barulah disusuli dengan merancang dan seterusnya diikuti dengan perlaksanaan. Sebagai satu contoh matlamat kewangan ialah mengawal perbelanjaan dan membuat simpanan supaya dapat melunaskan pinjaman pembelian perumahan, kereta dan kad Kredit.

Erti kata lain, anda perlu mengenalpasti dan menentukan matlamat dengan jelas untuk merealisasikan matlamat kewangan yang ingin dicapai itu. Matlamat kewangan yang dibuat juga mestilah bergantung kepada pelbagai faktor seperti keinginan, umur, kedudukan kewangan dan minat anda.


Contoh-contoh matlamat kewangan

# Mengawal wang anda supaya mempunyai lebihan setiap bulan (Positive Cashflow)
# Membayar hutang
# Mempunyai simpanan untuk digunakan sewaktu kecemasan seperti kereta rosak atau masalah kesihatan
# Membeli rumah
# Membeli kereta
# Simpanan untuk persaraan
# Membeli barang-barang berharga seperti peralatan elektrik yang mahal
# Pergi bercuti; dan sebagainya

Maka, seharusnya setiap matlamat kewangan yang kita tetapkan, pastikan ia akan merangkumi faktor-faktor…

S.M.A.R.T


Apakah itu matlamat kewangan yang S.M.A.R.T?

Berikut adalah huraian dari aspek kewangan untuk perkataan S.M.A.R.T...

S = Specific
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu mestilah khusus.
Sebagai contoh: “Aku ingin membeli kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008”.

Bukan sekadar, “bila ada duit nanti aku ingin membeli kereta”. Persoalannya, Kereta apa? Kereta mainan? Maknanya sekadar membeli kereta sahaja tiada pengkhususan dinyatakan ke atas matlamat itu.

M = Measurable
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu mestilah boleh diukur dengan nilai wang.
Sebagai contoh (kita ambil sambungan contoh di atas): “Aku ingin membeli kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”. Di sini, kita memerlukan RM350,000 sebagai ukuran.

Bukan sekadar, “bila ada duit nanti aku ingin membeli kereta BMW 5 Series”. Yang mana kita tiada nyatakan nilai duit yang diperlukan untuk sesuatu benda itu.

A = Attainable
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu juga mestilah boleh dicapai.
Sebagai contoh (sama seperti contoh sebelum): “Mulai sekarang aku akan meningkatkan tahap kewangan aku sebanyak RM3,200 sebulan selama 9 tahun untuk membeli dan membuat bayaran bulanan kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”. Maknanya di sini, letakkan komitment diri sendiri sebanyak RM3,200 sebulan untuk dapatkan kereta tersebut.

Bukan sekadar “menunggu bulan jatuh ke riba” atau “yang pipih terbang melayang, yang bulat datang bergolek” kepada kita….atau tunggu menang lottery. Ingat!!! Tidak semua manusia di dunia ini yang berjaya dengan berpandukan kepada nasib semata-mata tanpa berusaha.

R = Realistic & Relevan
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu juga mestilah realistic, berkait dengan diri sendiri.
Sebagai contoh (contoh yang sama): “Mulai sekarang aku akan meningkatkan tahap kewangan aku sebanyak RM3,200 sebulan selama 9 tahun untuk membeli & membuat bayaran bulanan kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”.

Bukan hendak beli Kereta Performance Ferrari / Lamborghini, tetapi wang hanya ada RM3,200 sahaja dalam tempoh 2 atau 3 bulan dari sekarang… Angan-angan kosong atau hanya bermimpi….Lupakan!!!!

T = Time-Bound
Sesuatu matlamat kewangan yang kita tetapkan itu mestilah mempunyai tempoh masa tertentu.
Ambil contoh yang sama: “Mulai sekarang aku akan meningkatkan tahap kewangan aku sebanyak RM3,200 sebulan selama 9 tahun untuk membeli dan membuat bayaran bulanan kereta BMW 5 Series keluaran Tahun 2008 berharga RM350,000”. Maka, bermula dari sekarang sehingga 9 tahun akan datang adalah tempoh masa yang jelas.

Bukan, ketika anda ada duit tetapi tidak meletakkan sasaran masa yang jelas.


Contoh matlamat kewangan berdasarkan tempoh masa:

1. Matlamat jangkamasa pendek boleh dicapai dalam masa seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak lebih daripada setahun. Contohnya seperti ingin membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk pergi bercuti.

2. Matlamat jangkamasa sederhana pula adalah matlamat yang boleh dicapai dalam masa setahun sehingga 5 tahun, seperti membayar hutang atau membeli kereta (kereta ini bergantung kepada jenis kereta dan tempoh bayaran ansuran bulanan. Tempoh bayaran ansuran bulanan maksimum adalah 9 tahun, maka jika panjang jangka masa sehingga 9 tahun. Maka, boleh letakkan ia sebagai matlamat jangka masa panjang).

3. Matlamat jangkamasa panjang boleh dicapai dalam masa 5 tahun atau lebih, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk hari persaraan dan mempunyai simpanan wang yang mencukupi untuk menghantar anak anda ke kolej atau universiti.

Anda mungkin mempunyai ketiga-tiga matlamat di atas, tetapi pastikan ianya mempunyai factor-faktor realistik. Sasaran yang terlalu tinggi mungkin akan mengecewakan dan menyebabkan anda mengabaikan terus matlamat itu. Hakikatnya bahawa sesuatu matlamat yang kabur pula tidak akan memotivasikan anda. Matlamat yang tidak fleksibel pula sukar untuk dicapai terutamanya dalam keadaan terdesak. Biar apapun matlamat kewangan yang dibuat, pastikan anda mempunyai sedikit kelonggaran untuk membuat perubahan yang perlu. Senaraikan matlamat mengikut keutamaan dan kepentingan untuk diri sendiri dan keluarga. Bagi merealisasikan impian anda, pastikan matlamat kewangan mengikut kaedah S.M.A.R.T.

Selamat berjaya!

S.M.A.R.T for Rich!!!! &

Financial Freedom!!!!

ASB Merupakan Salah Satu Pendapatan Pasif

Mengimbas kembali detik manis 2 Jan 2009, ramai di antara “orang kita” tersenyum lebar setelah keluar dari kaunter bank yang dibawanya bersama adalah buku Pelaburan “TING”. Apa tidaknya, setelah PNB mengumumkan di mana deviden ASB pada tahun ini mensasarkan sebanyak 8.75% kepada para pelabur. Dengan itu, ramailah “orang kita” melawat ke bank-bank untuk meng-“update” buku “TING” mereka. Ada juga dikalangan mereka yang mengeluarkan sejumlah wang untuk kegunaan perbelanjaan mereka yang mana ia sebagai sumber tambahan untuk membayar keperluan persekolahan anak-anak, membayar cukai jalan/insuran kenderaan dan sebagainya. Ternyata wajah-wajah sinar kegembiraan lahir pada mereka-mereka ini.


Tetapi ada juga cerita sebaliknya, dalam kita dok kecoh-kecoh tentang ASB, ada juga di kalangan “orang kita” tiada mempunyai simpanan/pelaburan langsung dalam ASB walaupun kos membuka hanya RM10.00 sahaja. Kenapa boleh jadi begitu? Tepuk dada Tanya selera, Tepuk dahi Tanya hati…

Andai kata, seseorang itu mempunyai simpanan ASB sejumlah RM10,000.00, yang mana simpanan tersebut sudah berusia selama setahun, dengan dividen 8.75% ini, seseorang itu akan memperolehi wang RM875.00 sebagai bonus tahunan. Bayangkan sekiranya kita mempunyai simpanan ASB sejumlah RM100,000.00, sudah tentu kita akan memperolehi wang percuma sejumlah RM8,750.00. Dengan jumlah wang sedemikian, memang cukup menampung perbelanjaan pembukaan persekolahan anak-anak untuk 10 orang yang bersekolah menengah.

Itu baru simpanan RM100,000.00 dalam ASB. Apa pula jadinya sekiranya seseorang itu mempunyai simpanan maksimum dalam ASB iaitu berjumlah RM200,000.00, maka mereka akan memperolehi wang percuma sejumlah RM17,500.00…(Wow!!!! banyak tu…), itu baru 1 akaun. Jika 2 akaun suami-isteri, di mana kedua-duanya sudah mencecah simpanan maksimum berjumlah RM200,000.00, sudah tentu wang percuma itu berjumlah RM35,000.00 (Wow!!! Wow!!!! Wow!!!! Lumayan sekali)

Inilah hakikat sebenar yang mana kita harus sedar, simpanan/pelabuaran ASB ini adalah salah satu “passive income” untuk diri kita pada suatu hari nanti. Erti kata lain, wang yang kita simpan itu bekerja untuk diri kita pula di masa hari persaraan kelak. Dengan jumlah wang sebanyak RM35,000.00 itu, maka sebuah keluarga yang sudah bersara akan memperolehi sebanyak RM2,900.00 sebulan sebagai sumbar pendapatan. Tidak cukup kah????

Oleh itu, simpanlah wang anda untuk hari persaraan anda. Maka, mulai hari ini buat satu matlmamat kewangan jangka masa panjang untuk wang anda.

RM8 Sehari?

Artikel sebelum ini menceritakan ASB adalah salah satu sumberPendapatan Pasif untuk seseorang yang bersara. Tetapi tidak menceritakan kaedah bagaimana untuk menyimpannya.


Terlebih dahulu renung 2 persoalan dibawah ini:

Persoalan Pertama: Adakah anda sukar menyimpan RM240 sebulan? Adakah RM240 sebulan itu satu jumlah yang sangat besar untuk anda menyimpan?

Persoalan Kedua: Adakah bayaran bulanan kereta RM480 – RM600 sebulan adalah jumlah yang kecil dan tiada masalah untuk diperuntukkan daripada gaji atau memang biasa saja?

Jika jawapan anda “YA” untuk kedua-dua persoalan di atas, ini bermakna anda sedang membina sel-sel barah dalam kewangan anda sendiri. Anda harus keluar dari situasi ini dengan segera sebelum keadaan yang lebih parah berlaku.

Anda perlu berubah dan mulakan menyimpan pada hari ini.

Apa kata, mulai hari ini anda peruntukkan RM8 sehari dan memasukkannya ke dalam Tabung Buluh (cara lama) secara konsisten. Ini bermakna, setelah cukup 30 hari (1 bulan), anda sudah mempunyai simpanan sebanyak RM240.00 bersih.

Jika anda menyimpan RM240 sebulan di dalam tabung buluh tersebut selama 5 tahun, anda akan dapat mengumpul sebanyak RM14,400.00 bersih.

Sementara itu, jika anda menyimpan RM240 sebulan dalam akaun simpanan biasa, selama 5 tahun, anda mungkin dapat mengumpul sekitar RM 15,250.00. Itu pun kalau bank baik hati untuk beri anda pulangan sekitar 2.0% setahun.

Adakah cukup 2.0% setahun sebagai pulangan simpanan anda untuk jangka masa 5 tahun akan datang?

Untuk makluman anda, kalau 6 tahun dulu, susu Krimer manis 505g hanya berharga RM1.55 setin. Tetapi hari ini harganya sudah menjadi RM2.55 setin. Ini bermakna dalam masa 5 tahun sudah ada kenaikkan harga melebihi 60%. Itu baru satu barang. Bagaimana pula dengan barang-barang yang lain? Mungkin, 3 tahun lalu, anda makan tengahari hanya RM4.00, tapi kini sudah menjadi RM5.00. Itu sahaja sudah ada kenaikan sebanyak 25%!!!

Merujuk kepada kesan kenaikan harga di atas, ini bermakna, sesiapa yang menyimpan duit dalam “tabung buluh” dan di dalam akaun simpanan biasa, mereka ini tidak lagi mampu untuk menampung hidup pada masa akan datang dengan adanya kesan inflasi seperti ini. Kesan inflasi ini merupakan musuh utama dalam kewangan anda. Jika kesan inflasi ini berterusan, menyimpan duit di dalam “Fix Deposit” bank pun sudah cukup susah untuk anda menampung hidup di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, selepas 30 hari, pindahkan sejumlah RM240 dari “tabung buluh” tadi ke dalam simpanan ASB untuk tujuan simpanan tetap. Tahukah anda bahawa ASB merupakan satu produk kewangan yang mesti anda gunakan sebagai asas kewangan anda untuk masa depan?

Mengikut kiraan, sekiranya anda menyimpan RM240 sebulan di dalam ASB, dengan menganggarkan purata pulangan ASB adalah 8% setahun, ini bermakna anda akan mempunyai simpanan sebanyak RM18,247.40 setelah 5 tahun. Bukan lagi RM15,552.00.

Kenapa ini berlaku?

Ini berlaku disebabkan simpanan ASB dikira mengikut kaedah pengiraan “Compounded dividen” dan bukannya pengiraan “Simple dividen”.

Maka dengan cara pengiraan ini, anda hanya perlu menyimpan konsisten selama 5 tahun sebanyak RM14,400.00 dan anda akan mendapat duit tambahan sebanyak RM3,847.40 selepas 5 tahun.

Dan kalau anda menyimpan hanya RM240, di ASB selama 10 tahun. Anda akan mendapat RM45,059.00. Bukan lagi, RM31,104.00

Menarik bukan?

Itu baru hanya RM8 sehari…belum lagi RM10 atau RM15 atau RM20 sehari!!!!

Maka, dengan ini buatlah simpanan untuk diri anda demi masa depan yang sempurna.

Jadikan ASB sebagai asas simpanan wang anda.



Note: Saya tidak dibayar oleh PNB untuk buat artikel ini. Tapi sekadar berkongsi maklumat kepada mereka-mereka yang masih belum mengetahuinya.